Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Pg Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Ahad, 15 Mac. - Pasukan DPMM FC terpaksa akur setelah tewas 0 - 3 kepada Johor Darul Ta'zim FC dalam saingan Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Turut berangkat, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman, dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Pada babak pertama perlawanan, pasukan lawan Johor Darul Ta'zim FC mendahului pasukan DPMM FC dengan menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-33, hasil sepakan Ager Aketxe.
Walaupun Johor Darul Ta'zim FC menguasai perlawanan, namun DPMM FC tetap bangkit dan terus menyerang Johor Darul Ta'zim FC untuk menyamakan kedudukan, akan tetapi bola sering kali tersasar keluar.
Menyaksikan babak kedua perlawanan, DPMM FC menunjukkan aksi permainan yang menarik dan bersungguh-sungguh namun Johor Darul Ta'zim FC berjaya menambah gol pada minit ke-74 menerusi Oscar Arribas dan seterusnya pada minit ke-77 hasil sepakan Marcos Guilherme.
Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Ketua Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister berkata para pemain DPMM FC telahpun berusaha bersungguh-sungguh dalam perlawanan malam ini berbanding perlawanan sebelumnya menentang Johor Darul Ta'zim FC dengan jaringan 10 - 0.
Pada perlawanan seterusnya, DPMM FC akan menentang Negeri Sembilan pada 12 April 2026, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, Malaysia.
Sementara itu, DPMM FC berada di kedudukan ke-8 manakala Johor Darul Ta'zim FC kekal berada di puncak liga.